RADIOLARIA KAPUR DALAM KOMPLEKS OFIOLIT TELUK DARVEL DI SUNGAI SIPIT LAHUNDAI, KUNAK, SABAH

ABSTRAK. Kompeks Ofiolit Teluk Darvel merupakan unit batuan yang terdiri daripada sekutuan batuan volkano mafik dan ultramafik yang ditindih oleh lapisan rijang. Lapisan rijangnya mempunyai kelimpahan radiolaria dikenali sebagai radiolarit yang ditemui di Sungai Sipit Lahundai, 22 kilometer daripada Pekan Kunak, Sabah. Sepuluh sampel telah dipungut dan diproses mengikut kaedah mikroplaeontologi. Spesimen pilihan yang baik pengawetannya diambil gambar foto dengan menggunakan mikroskop pengimbas elektron. Sebanyak 36 spesies radiolaria telah dikenalpasti dan hanya 25 spesies pilihan sahaja digunakan untuk menentukan usia rijang dan dikelaskan kepada tiga himpunan (I-III). Himpunan I ditandakan dengan kehadiran Stichomitra simplex yang menunjukka usia Aptian hingga Albian. Spesies lain dalam himpunan ini ialah Crucella bossoensis, Hiscocapsa asseni, Obeliscoites vinassai, Stichomitra communis, Xitus spicularius, Tiactoma cellulosa, dan Dactyliosphaera maxima. Himpunan II terdiri daripada spesies Dictyomitra gracilis, Xitus mclaughlini, Torculum coronatum, Pessagnobrachia fabianii, Sciadiocapsa speciosa, Crucella cahensis, Tuguriella pagoda, Dictyomitra farmosa, Acaeniotyle rebellis, Pseudoaulophacus putahensis dan Pseudodicytomitra tiara. Himpunan ini diwakili oleh kehadiran penanda zon Xitus mclaughlini yang berusia Albian hingga Cenomanian. Himpunan III pula terdiri daripada Stichomitra stocki, Pseudotheocampe tina, Ultranapora cretacea, Alievium superbum, dan Dictyomitra multicostata. Himpunan ini dicirikan oleh kewujudan penanda zon Crucella cahensis yang menunjukkan usia Turonian. Himpunan ini membuktikan bahawa usia rijang tersebut adalah Aptian hingga Turonian. Sekutuan batuan daripada Kompleks ini dikelaskan sebagai sekutuan ofiolit iaitu jujukan ofiolit yang membentuk kerak lautan.

KATA KUNCI: Radiolaria; Kapur; Kompleks Ofiolit Teluk Darvel; Sungai Sipit Lahundai

Muat Turun Di Sini (right click & save as)